Friday, March 8, 2013

weekend is near and im feelin 22


Masa itu harga tepung gandum masih lagi 80 sen. Berbekalkan $3.00 yang diberi emak, aku membawa pulang sebungkus tepung gandum, sebungkus gula pasir dan sebungkus biskut kering. Dah 1 bulan ayah tak berniaga. Peti simpanan pisang yang biasanya penuh dengan pisang di depan rumah pun sudah lama kosong. Ayah kata tuan punya tapak kedai nak ambil balik.

“Tempat menunggu bas dah dibina kat situ barulah sibuk nak ambik. Masa tak ramai orang dulu janji boleh pajak setahun. Ni tak sampai setahun lagi. Janji tak ada hitam putih ni pun namanya janji melayu. Susah hati kalau orang kita senang sikit. Aku baru beli motor je bukan pakai proton saga pun.”

Aku mencuri dengar perbualan ayah dan mak dari balik dinding pemisah ruang tamu rumah dan dapur. Berkepul-kepul asap rokok kretek yang tebal menerjah sehingga ke ruang tempat aku berselindung menyebabkan aku terbatuk-batuk kecil.

“Pergi tengok adik sana” suara garau ayah berbunyi tegas. Cepat-cepat aku mendapatkan buaian adik bongsuku, Arshad sambil mengayun laju. Mak masuk ke ruang tamu sambil membawa pakaian yang baru diangkat dari jemuran.

“Dah siap kerja sekolah?” emak menyoalku. Aku cuma mengangguk.
“Orang tua-tua berbual jangan dengar, tak baik.” Mak berkata sambil melipat kain. Aku cuma diam sambil tanganku terus menghayun buaian.

“Janji melayu tu macam mana mak?” mak mencegilkan mata kepadaku. Ayah berdehem kuat. Aku melajukan hayunan buaian.


*****

Aku terjaga dari tidur sebaik terdengar Arshad menangis. Aku lihat mak sudah pun menggendong Arshad untuk disusukan. Bau roti bakar ayah menerawang ke seluruh rumah kecil kami dan serta merta perut aku berasa lapar sekali. Aku bingkas dan menjengah ke dalam bilik dan mendapati bang long sedang memakai cekak rambutku sambil beraksi di depan cermin.

“Bak balikla ni orang perempuan punya” Aku tekan sedikit suaraku sambil mengambil keras dari kepala bang long.
“Kakak, ambik pinggan. Buat air sekali mak dah jerang tu” mak bersuara dari ruang tamu.
“Ye mak!” aku separuh menjerit dan cekak rambut di tanganku dirampas semula oleh bang long. Geram.

Sambil menghidangkan roti ke dalam pinggan, aku merenung tajam ke arah bang long yang bibirnya juga merah dek gincu emak.

“Pegi cuci muka, basuh tangan dulu” Mak menegur bang long, aku senyum puas sambil mengangkat ibu jari tangan.

Setelah ayah habis membaca doa, ayah mengagihkan roti bakarnya ke pinggan kami semua. Aku mula mencedok kuah kari. Aku percaya roti ini adalah roti ciptaan ayah sendiri kerana sehingga sekarang pun aku belum pernah jumpa roti yang sama seperti ayah buat. Ayah memang kreatif dalam bab-bab masakan. Ayah kata kalau tak ada beras, perlu ada tepung gandum. Dari tepung gandum itu ayah pernah buat roti canai (ya, ayah saya pandai menebar) , cucur bawang dan ikan bilis dan juga lempeng kelapa selain dari roti bakar yang ini. Kari ayah juga adalah yang paling sedap aku pernah makan biarpun cuma berisi beberapa ketul kentang.

Malam itu kami semua tidur di ruang tamu. Sambil mengipas-ngipaskan mak dan Arshad menggunakan surat khabar, ayah kata rumah kami tak ada elektrik. Bang long cuma tidur berseluar dalam sahaja. Sayup-sayup aku terdengar suara Salleh Yaakob menyanyi dari balik dinding.

Esok aku nak mintak ayah potongkan rambut aku.






CUTT !!

taman maju


Kabur. Seingat aku setiap petang aku akan membawa adik-adik bersiar-siar di sekitar kawasan perumahan kami dan kadang kala aku akan membawa adik sulungku, Junaidi ke tempat ayah bekerja di depan taman perumahan kami, Taman Maju.

“Panggil kak long” aku mengacukan jari telunjuk ke dadaku.
“Boboy abang long” adik sulungku senyum sambil mengangguk tanda setuju dengan tawaranku.
“Kenapa bawak adik ke sini?” ayah menyoalku sejurus aku menongkat basikal.
“Dia nak datang”
“Dik, goreng pisang dua ringgit”
Aku pantas membungkus dan menyerahkan bungkusan ke kakak yang baru sahaja turun dari bas kilang di hadapanku.
“Kejap lagi bawak adik balik, dah nak maghrib ni”         
Aku Cuma mengangguk. Takut aku untuk bertentang mata dengan ayah. Wajah bengis itu sesekali ku seka dengan melirik pantas.

Selepas Isya’ aku bersiap-siap dan duduk di kerusi ruang tamu rumah kami sambil bersedia untuk mengikut ayah. Setiap malam selepas pulang dari solat berjemaah di masjid, ayah akan keluar minum bersama teman-temannya dari sekitar taman perumahan kami.

Kebelakangan ini jarang-jarang aku dapat ikut kerana ayah kata mereka mahu berbincang dewasa yang aku kira pada waktu itu bendera Bebas dan Semangat 46 banyak dikibarkan. Tapi hari ini aku yakin dapat ikut ayah kerana ayah akan ke pekan untuk menyaksikan perlawanan badminton di dewan serba guna. Ayah memberi isyarat supaya aku tunggu di luar. Selepas bersalaman dengan emak, aku cepat-cepat keluar dan hanya memandang bang long yang lena tidur di ruang tamu.

“Jangan lewat sangat, esok sekolah”. Aku senyum girang sambil melambai-lambai emak.

Jarak ke pekan tidaklah jauh, dalam 2km sahaja keluar dari taman perumahan kami. Tapi aku  kira penat juga ayah mengayuh basikal sambil membawa bebanan aku di belakang. Kadang kala aku mengangkat punggungku sedikit membayangkan yang kayuhan ayah akan menjadi ringan.

Di sana kami duduk bersama-sama dengan kawan-kawan ayah dari kampung yang berhampiran dengan taman perumahan kami. Pakcik Samad, jiran sebelah rumah kami pun ada sekali. Sejurus selepas kami bersorak-sorakan ayah bertemu dengan kawan-kawannya untuk minum dan menyambung kegembiraan sambil mengulas perlawanan tadi. Aku tertidur keletihan di riba ayah.

*****





Pehh sedap ni kalau ada lukis orang-orang sikit ni tapi aku tak pandai lukis benda hidup. Blerghh kaku betul jari ni. Up, till next!



CUTT !!