Showing posts with label taman maju. Show all posts
Showing posts with label taman maju. Show all posts

Wednesday, July 17, 2013

benda yang tak tau bila dibualkan, ianya akan jadi bebual.

Kamalia menjeling aku dengan jelingan yang paling ngeri. Di sisinya Ros, tak henti-henti menangis teresak-esak sejak dari bilik guru tadi. Aku buat muka tak tahu lalu terus memberikan tumpuan kepada kelas Puan Selamah biarpun tumpuan aku menerawang akan hal yang bakal berlaku balik rumah nanti.

"Tunggu nasib kau Kamalia". getus aku di dalam hati.

“Siapa yang cakap dengan mak aku hah? Baik kau cakap”. Aku menolak Ros ke dinding kuat.

“Aku tak cakap, bukan aku” Ros terus-terusan menangis.

“Habis tu kalau bukan kau, siapa?!”

“Kamalia”

Ros menekup muka dengan kedua-dua belah tangannya. Tangisan semakin kuat.

Aku menarik lengan Ros menuju ke kelas 3 Kuning. Sebaik merentasi kelas 3 Hijau semua mata memandang ke arah kami.

“Diamlah. Kau tak malu ke menangis depan ramai-ramai budak ni?”

Tangisan Ros tidak reda.

Sebaik sampai ke kelas aku mendorong Ros ke tempatnya dan aku terus menuju ke tempat dudukku. Aku memandang Nazri dan Kecik tanpa bicara lalu mengeluarkan buku teks Bahasa Malaysia dari dalam beg. Kamalia dan Zalina meluru ke tempat duduk Ros. Zalina memandang aku dengan wajah seperti seorang pesalah.

“Apa terjadi?” soal Azura kepadaku.

“Tak ada apa”

Azura senyap lantas terdengar derap langkah kasut tumit tinggi yang sangat aku kenali masuk ke kelas. Aku hanya memandang rotan berdiameter jari telunjukku di tangan Puan Selamah. Puan Selamah memandang ke arahku.

“Kelas, buka muka surat 23 dan jawab soalan. Penolong ketua darjah dan Roslina, ikut saya.”

Aku menelan liur.

“Sekarang!”












p/s : Puan Selamah suka matching baju kurung biru dan tudung biru. Lipstik merah, tapi dia baik.



Oh hai selamat berpuasa dan jaga anal masing -masing ye! =D






CUTT !!

Sunday, April 21, 2013

2 kuning - cikgu vatinah, fahmi,azura dan kumpulan gagak hitam


“Yanti, jomla kita main petang ni. Awak dah lama tak datang rumah saya”

“Mak saya tak kasi kawan dengan awak”

“Kenapa?”

“Sebab awak banyak kutu”

“Saya minta maaf cikgu, saya tak makan gula-gula lagi dalam kelas”

“Saya cakap dengan mak awak”
“Saya cakap dengan mak awak”
“Saya cakap dengan mak awak”

“Jangan kawan dengan dia”
“Jangan kawan dengan dia”

Berulang-ulang.

Aku menghulurkan 20 sen kepada pakcik yang menjual nasi lemak di luar pagar sekolah. Waktu rehat singkat dan aku tak suka makan di kantin sekolah, terpaksa berebut-rebut dan bakal terjumpa dengan mereka-mereka yang memberi muka cuka kepadaku. Lagipun nasi lemak di kantin berharga 30 sen tapi tak sedap.

Aku duduk makan di belakang bangunan perpustakaan. Di hujung bangunan aku lihat ada juga 2 orang murid yang aku tak kenal sedang makan. Aku memang sudah biasa berseorangan. Aku tak ambil pusing sangat dengan kata-kata mereka yang cuba menjauhi dan menyakiti hati aku. Pada aku biarlah aku berseorangan dari ditemani kawan-kawan yang tak ikhlas.

Habis makan aku teguk air susu yang dibekalkan mak. Rasa nak muntah. Aku tak suka minum susu walau berapa banyak pun khasiat yang cikgu cerita.

“Hey”

Aku mendongak. Tercegat di hadapan berdiri 2 orang budak lelaki sekelas denganku. Nazri, lebih tinggi dariku dan yang paling tinggi di kelasku, datang bersama Kecik yang berketinggian paras dada Nazri dan separas bahu aku.

“Kenapa?” soalku.

“Naik kelas nanti jumpa kat bilik air lelaki bawah”

Aku menoleh ke arah Kecik yang tersengih-sengih sambil menggigit-gigit daun pokok puding yang baru dipetiknya.

“Buat ape?”

“Naik kelas nanti turun kejap. Aku dengan Kecik tunggu sana”

“Yelah tengokla nanti”

Mereka berlalu sambil Kecik melompat-lompat lagak kurang siuman. Aku merengus sambil membuang sampah bungkusan nasi lemak ke dalam tong sampah yang disediakan di tepi perpustakaan. Aku membasuh tangan di paip yang ada di sebelah bangunan lama sekolah dan mengatur langkah semula ke pintu masuk perpustakaan. Buku Rapunzel aku tak habis baca lagi.



***


Fahmi terhiriskan pehanya dengan pisau lipat besi sewaktu cuba menunjukkan aksi silap mata kepadaku. Suasana gembira tadi bertukar menjadi cemas di kelas pendidikan seni. Aku berkejar ke bilik air untuk mengambil segayung air bersih. Sedang aku berlari tiba-tiba aku ditahan. Aku imbangi air yang aku bawa di dalam gayung, nasib baik tak tumpah ke baju.

“Kau hisap rokok?” tiba-tiba terpacul soalan itu lantas aku tekupkan mulut sendiri.

Aku menoleh ke kiri dan kanan. Aku ditarik masuk ke bilik air lelaki. Pintu ditutup. Nazri merapatkan badan ke arahku lantas menghembuskan asap rokok ke mukaku.

“Kenapa penolong ketua darjah, kau nak tangkap aku?”

Aku geleng kepala.

“Aku tahu kau takkan buat macam tu” katanya lagi. Kecik di luar bilik air, jaga pintu.

“Kenapa kau tak masuk kelas? Fahmi luka peha dia tu aku nak cepat ni” aku separa berbisik dan menggesa.

Nazri senyum.

“Kau pulak, kenapa tak datang lepas rehat tadi?”

“Aku lupalah. Aku ke perpustakaan. Cepatlah apa kau nak?”

“Nah, ambik ni”

Nazri meletakkan sesuatu di dalam genggamanku. Aku membuka genggaman, seperti lidi pencungkil gigi tetapi ada warna merah di hujungnya. Aku terpinga-pinga kehairanan sambil memandang wajahnya.

“Masuk kumpulan aku. Kumpulan gagak hitam. Kitorang jadi kawan kau”

Aku memasukkan ke dalam poket pinafore dan terus meluru ke kelas yang terletak di bangunan lama sebelah bilik air tersebut, yang terletak di bangunan baru. Sebelum masuk ke kelas aku menoleh kea rah Nazri dan Kecik dalam jarak 10 meter. Nazri hanya memandang dan Kecik melambai-lambai tangan kepadaku.

Shit. Azura, budak sebelah meja aku berak cair di kerusinya sambil menangis.

Aku suruh Kamalia punggah 2 baldi air. Kamalia jeling aku.





Aku harap jalan cerita ni makin lama takde mengarut aku jadi power rangers menyelamatkan dunia pulak. Kakaka










CUTT !!

Monday, April 1, 2013

eja peha tu paha ke peha? omputihnye thigh tu


Hari itu aku menangis semahu-mahunya. Ayah sungguh keras hati. Maktok juga berlinangan air matanya. Dengan jarak yang cuma dipisahkan pagar kayu setinggi peha maktok aku memeluk tubuh tua itu agar membenarkan aku mengikutnya pulang.

“Nak ikut maktok…nak ikut maktok…” itu sahaja ayat yang ku ulang sambil teresak-esak.

“Tak boleh, ayah tak bagi” berjurai-jurai  air mata maktok tumpah. Ingin sahaja aku patahkan tembok pemisah itu, lari bersama maktok. Aku tak tahan lagi.

“Dahlah mak balikla. Madi tetap tak bagi budak ni balik ikut mak”

Meraung-raung aku mendengarkan ayah berkata begitu.

Bukannya dekat, jarak dari bandar setengah jam perjalanan menaiki bas ditambah pula dengan berjalan dari depan Taman Maju ke rumah nombor 10 ini. Aku rasa setengah jam juga berjalan kaki dari depan. Aku kasihankan maktok.

“Maktok balik dulu ye, nanti maktok datang lagi”

Aku meronta-ronta minta tidak dilepaskan pelukan tetapi maktok pergi juga. Aku menangis semahu-mahunya di muka pintu. Ayah kejam, kejam! Bentak hatiku. Aku memandang mak menagih simpati. Mak hanya menjeling. Bang long terdiam di sisi mak, tidak mengerti apa yang sedang berlaku.

“Manja sangat” mak mencebik.

Aku berlari ke bilik dan melampiaskan raungan serta airmata ke bantal yang banyak mendengar kisah hidupku ini. Aku teresak-esak bersama harapan yang musnah, hati yang hancur dan duniaku menjadi gelap perlahan-lahan.

“Mak! Mak! Bye mak!” aku melambai-lambai burung besi yang jauh di awan nan biru.

“Mak pergi haji, awak jaga diri baik-baik” aku cuma mengangguk dan bayangan mak terus lenyap.

“Mak! Mak jangan tinggalkan saya!” aku menjerit sambil melambai-lambai burung besi itu.

Eh dia tengok kita
Eh dia jeling mata
Aduh mak senyum lagi
Amboi nona manis sekali

Aku tersentak. Sekilas aku tersedu kecil bilasan air mata tadi. Kuseka wajah yang masih basah. Aku lihat sekeliling.

Gelap.

“Mak?”

Sunyi.

Perlahan-lahan aku membuka pintu bilik dan menjengah ke dapur dan bilik ayah. Tiada sesiapa. Aku menoleh ke jam dinding bulat yang tertera Orient di permukaannya.

“Pukul 4 petang” bisik bibirku.

Dia menjeling
Aduh mak aku dicubit
Siapa dia
Oh puteri remaja

“Salleh Yaakob!”

Aku berlari ke ruang tamu. Perlahan-lahan aku membuka pintu. Dalam anggaran 2 inci aku mengintai  ke arah rumah Pak Samad. Abang rakan sekelasku, Amalia Yanti binti Abd. Samad menyanyi sambil duduk berlunjur di atas tembok rumah mereka yang berukuran tinggi lebih kurang 5 kaki. Abang Yanti satu sekolah denganku tetapi dia darjah 4.

Eh dia malu-malu
Dibalik selendang yang biru

Aku tutup semula pintu bila dia menyanyi sambil tersenyum menjeling ke arahku yang sedang mengintainya. Kemudian aku buka semula.

Dia senyum padaku
Itulah gadis impianku

Aku tutup semula pintu.

Aku dapat rasakan tenaga semangat yang segar. Aku senyum di belakang pintu. Tiba-tiba aku teringatkan kerja sekolah yang diberi cikgu untuk disiapkan dalam musim cuti penggal ini.

Aku seka air mata tunggal yang jatuh. Hidup mesti diteruskan.




"Kesakitan mengajar kita erti kekuatan. Kerana itu sahaja pilihan yang kita ada" - entah siapa-siapa





Nota kaki : aku kalo jumpe budak sekolah rendah feeling lebih-lebih ni aku hentak je kadang-kadang kakaka





CUTT !! 

Tuesday, March 12, 2013

curi dengar, apadahal


No.10 Jalan Betik, Taman Maju. Itulah alamat yang aku tuliskan untuk Maktok. Alamat itu juga adalah harapan sinar kegembiraan buat aku. Aku berharap sangat agar Maktok simpan cebisan kertas itu betul-betul. Aku berjalan mundar mandir di ruang tamu. Ayah mengambil emak balik dari sekolah. Ayah kata selepas itu mereka akan ke rumah nenek. Emak adalah guru matematik di sekolahku. Dia mengajar kelas-kelas tahap 2. Mak selalu pesan jaga disiplin kat sekolah dan jangan main-main waktu belajar. Mak marah betul sewaktu terjumpa cebisan kertas tertulis ‘I love u’ dari dalam beg sekolah aku. Hari itu aku kena marah teruk dengan ayah dan mak.

Abdul Razak, budak hitam yang aku tak suka tu duduk berhadapan dengan meja aku tu yang bagi. Usia semuda itu manalah aku tahu maksud ‘I love u’ itu secara umum. Esoknya Abdul Razak kena panggil dengan mak dan selepas itu Abdul Razak tak bercakap dengan aku lagi dan dia dipindahkan tempat duduk oleh cikgu kelas kami. Hari itu juga aku dilantik menjadi Penolong Ketua Darjah oleh cikgu kelas kami, Puan Selamah binti Salleh. Esoknya aku dah berani suruh orang berdiri atas kerusi. Aku memang nekad jaga nama baik mak sebab itu yang mak selalu pesan. Kalau boleh, semua cikgu yang aku jumpa kat sekolah aku akan salam. Tapi kebiasaannya aku akan elak dari bertembung di kaki lima sekolah. Aku tak suka jadi perhatian atas sebab yang aku rasa tak perlu.  Semenjak dari hari itu jugak aku sepak kaki semua budak lelaki yang berpotensi menyebabkan aku kena marah dengan mak.

Tahun ini tahun ketiga aku dilantik menjadi Penolong Ketua Darjah. Gandingan aku adalah Mohd. Noor Fahmi, anak penghulu yang rumahnya terletak di pekan. Dia selalu bawak buku cerita yang best-best ke sekolah. Kami berkawan baik sejak digandingkan sebagai penolong dan ketua yang aku rasa tugas kami adalah yang mudah-mudah seperti memberi salam kepada cikgu sebelum memulakan kelas, kumpul buku untuk ditanda cikgu, jaga barisan sewaktu beratur dan wakil kelas bagi acara-acara tertentu. Fahmi ada seorang sepupu yang sama baya dengan kami iaitu Mohd. Noor Hafiz, yang juga aku baik dengannya sebab dia selalu datang bermain di Taman Maju dan dia berada di kelas 3 Hijau. Hafiz lebih tinggi daripada Fahmi dan dia nampak sesuai sebagai Ketua Darjah bagi kelas 3 Hijau. Dia bagi gula-gula kat aku waktu rehat  tadi. Semasa di kelas cikgu Vatinah aku makan gula-gula pemberiannya. Aku betul-betul terlupa.

“Saya akan cakap dengan mak awak”

Itu ayat penamat. Aku rasa aku akan jadi daging mati balik rumah nanti.





CUTT !!

Friday, March 8, 2013

weekend is near and im feelin 22


Masa itu harga tepung gandum masih lagi 80 sen. Berbekalkan $3.00 yang diberi emak, aku membawa pulang sebungkus tepung gandum, sebungkus gula pasir dan sebungkus biskut kering. Dah 1 bulan ayah tak berniaga. Peti simpanan pisang yang biasanya penuh dengan pisang di depan rumah pun sudah lama kosong. Ayah kata tuan punya tapak kedai nak ambil balik.

“Tempat menunggu bas dah dibina kat situ barulah sibuk nak ambik. Masa tak ramai orang dulu janji boleh pajak setahun. Ni tak sampai setahun lagi. Janji tak ada hitam putih ni pun namanya janji melayu. Susah hati kalau orang kita senang sikit. Aku baru beli motor je bukan pakai proton saga pun.”

Aku mencuri dengar perbualan ayah dan mak dari balik dinding pemisah ruang tamu rumah dan dapur. Berkepul-kepul asap rokok kretek yang tebal menerjah sehingga ke ruang tempat aku berselindung menyebabkan aku terbatuk-batuk kecil.

“Pergi tengok adik sana” suara garau ayah berbunyi tegas. Cepat-cepat aku mendapatkan buaian adik bongsuku, Arshad sambil mengayun laju. Mak masuk ke ruang tamu sambil membawa pakaian yang baru diangkat dari jemuran.

“Dah siap kerja sekolah?” emak menyoalku. Aku cuma mengangguk.
“Orang tua-tua berbual jangan dengar, tak baik.” Mak berkata sambil melipat kain. Aku cuma diam sambil tanganku terus menghayun buaian.

“Janji melayu tu macam mana mak?” mak mencegilkan mata kepadaku. Ayah berdehem kuat. Aku melajukan hayunan buaian.


*****

Aku terjaga dari tidur sebaik terdengar Arshad menangis. Aku lihat mak sudah pun menggendong Arshad untuk disusukan. Bau roti bakar ayah menerawang ke seluruh rumah kecil kami dan serta merta perut aku berasa lapar sekali. Aku bingkas dan menjengah ke dalam bilik dan mendapati bang long sedang memakai cekak rambutku sambil beraksi di depan cermin.

“Bak balikla ni orang perempuan punya” Aku tekan sedikit suaraku sambil mengambil keras dari kepala bang long.
“Kakak, ambik pinggan. Buat air sekali mak dah jerang tu” mak bersuara dari ruang tamu.
“Ye mak!” aku separuh menjerit dan cekak rambut di tanganku dirampas semula oleh bang long. Geram.

Sambil menghidangkan roti ke dalam pinggan, aku merenung tajam ke arah bang long yang bibirnya juga merah dek gincu emak.

“Pegi cuci muka, basuh tangan dulu” Mak menegur bang long, aku senyum puas sambil mengangkat ibu jari tangan.

Setelah ayah habis membaca doa, ayah mengagihkan roti bakarnya ke pinggan kami semua. Aku mula mencedok kuah kari. Aku percaya roti ini adalah roti ciptaan ayah sendiri kerana sehingga sekarang pun aku belum pernah jumpa roti yang sama seperti ayah buat. Ayah memang kreatif dalam bab-bab masakan. Ayah kata kalau tak ada beras, perlu ada tepung gandum. Dari tepung gandum itu ayah pernah buat roti canai (ya, ayah saya pandai menebar) , cucur bawang dan ikan bilis dan juga lempeng kelapa selain dari roti bakar yang ini. Kari ayah juga adalah yang paling sedap aku pernah makan biarpun cuma berisi beberapa ketul kentang.

Malam itu kami semua tidur di ruang tamu. Sambil mengipas-ngipaskan mak dan Arshad menggunakan surat khabar, ayah kata rumah kami tak ada elektrik. Bang long cuma tidur berseluar dalam sahaja. Sayup-sayup aku terdengar suara Salleh Yaakob menyanyi dari balik dinding.

Esok aku nak mintak ayah potongkan rambut aku.






CUTT !!

taman maju


Kabur. Seingat aku setiap petang aku akan membawa adik-adik bersiar-siar di sekitar kawasan perumahan kami dan kadang kala aku akan membawa adik sulungku, Junaidi ke tempat ayah bekerja di depan taman perumahan kami, Taman Maju.

“Panggil kak long” aku mengacukan jari telunjuk ke dadaku.
“Boboy abang long” adik sulungku senyum sambil mengangguk tanda setuju dengan tawaranku.
“Kenapa bawak adik ke sini?” ayah menyoalku sejurus aku menongkat basikal.
“Dia nak datang”
“Dik, goreng pisang dua ringgit”
Aku pantas membungkus dan menyerahkan bungkusan ke kakak yang baru sahaja turun dari bas kilang di hadapanku.
“Kejap lagi bawak adik balik, dah nak maghrib ni”         
Aku Cuma mengangguk. Takut aku untuk bertentang mata dengan ayah. Wajah bengis itu sesekali ku seka dengan melirik pantas.

Selepas Isya’ aku bersiap-siap dan duduk di kerusi ruang tamu rumah kami sambil bersedia untuk mengikut ayah. Setiap malam selepas pulang dari solat berjemaah di masjid, ayah akan keluar minum bersama teman-temannya dari sekitar taman perumahan kami.

Kebelakangan ini jarang-jarang aku dapat ikut kerana ayah kata mereka mahu berbincang dewasa yang aku kira pada waktu itu bendera Bebas dan Semangat 46 banyak dikibarkan. Tapi hari ini aku yakin dapat ikut ayah kerana ayah akan ke pekan untuk menyaksikan perlawanan badminton di dewan serba guna. Ayah memberi isyarat supaya aku tunggu di luar. Selepas bersalaman dengan emak, aku cepat-cepat keluar dan hanya memandang bang long yang lena tidur di ruang tamu.

“Jangan lewat sangat, esok sekolah”. Aku senyum girang sambil melambai-lambai emak.

Jarak ke pekan tidaklah jauh, dalam 2km sahaja keluar dari taman perumahan kami. Tapi aku  kira penat juga ayah mengayuh basikal sambil membawa bebanan aku di belakang. Kadang kala aku mengangkat punggungku sedikit membayangkan yang kayuhan ayah akan menjadi ringan.

Di sana kami duduk bersama-sama dengan kawan-kawan ayah dari kampung yang berhampiran dengan taman perumahan kami. Pakcik Samad, jiran sebelah rumah kami pun ada sekali. Sejurus selepas kami bersorak-sorakan ayah bertemu dengan kawan-kawannya untuk minum dan menyambung kegembiraan sambil mengulas perlawanan tadi. Aku tertidur keletihan di riba ayah.

*****





Pehh sedap ni kalau ada lukis orang-orang sikit ni tapi aku tak pandai lukis benda hidup. Blerghh kaku betul jari ni. Up, till next!



CUTT !!