Friday, March 8, 2013

weekend is near and im feelin 22


Masa itu harga tepung gandum masih lagi 80 sen. Berbekalkan $3.00 yang diberi emak, aku membawa pulang sebungkus tepung gandum, sebungkus gula pasir dan sebungkus biskut kering. Dah 1 bulan ayah tak berniaga. Peti simpanan pisang yang biasanya penuh dengan pisang di depan rumah pun sudah lama kosong. Ayah kata tuan punya tapak kedai nak ambil balik.

“Tempat menunggu bas dah dibina kat situ barulah sibuk nak ambik. Masa tak ramai orang dulu janji boleh pajak setahun. Ni tak sampai setahun lagi. Janji tak ada hitam putih ni pun namanya janji melayu. Susah hati kalau orang kita senang sikit. Aku baru beli motor je bukan pakai proton saga pun.”

Aku mencuri dengar perbualan ayah dan mak dari balik dinding pemisah ruang tamu rumah dan dapur. Berkepul-kepul asap rokok kretek yang tebal menerjah sehingga ke ruang tempat aku berselindung menyebabkan aku terbatuk-batuk kecil.

“Pergi tengok adik sana” suara garau ayah berbunyi tegas. Cepat-cepat aku mendapatkan buaian adik bongsuku, Arshad sambil mengayun laju. Mak masuk ke ruang tamu sambil membawa pakaian yang baru diangkat dari jemuran.

“Dah siap kerja sekolah?” emak menyoalku. Aku cuma mengangguk.
“Orang tua-tua berbual jangan dengar, tak baik.” Mak berkata sambil melipat kain. Aku cuma diam sambil tanganku terus menghayun buaian.

“Janji melayu tu macam mana mak?” mak mencegilkan mata kepadaku. Ayah berdehem kuat. Aku melajukan hayunan buaian.


*****

Aku terjaga dari tidur sebaik terdengar Arshad menangis. Aku lihat mak sudah pun menggendong Arshad untuk disusukan. Bau roti bakar ayah menerawang ke seluruh rumah kecil kami dan serta merta perut aku berasa lapar sekali. Aku bingkas dan menjengah ke dalam bilik dan mendapati bang long sedang memakai cekak rambutku sambil beraksi di depan cermin.

“Bak balikla ni orang perempuan punya” Aku tekan sedikit suaraku sambil mengambil keras dari kepala bang long.
“Kakak, ambik pinggan. Buat air sekali mak dah jerang tu” mak bersuara dari ruang tamu.
“Ye mak!” aku separuh menjerit dan cekak rambut di tanganku dirampas semula oleh bang long. Geram.

Sambil menghidangkan roti ke dalam pinggan, aku merenung tajam ke arah bang long yang bibirnya juga merah dek gincu emak.

“Pegi cuci muka, basuh tangan dulu” Mak menegur bang long, aku senyum puas sambil mengangkat ibu jari tangan.

Setelah ayah habis membaca doa, ayah mengagihkan roti bakarnya ke pinggan kami semua. Aku mula mencedok kuah kari. Aku percaya roti ini adalah roti ciptaan ayah sendiri kerana sehingga sekarang pun aku belum pernah jumpa roti yang sama seperti ayah buat. Ayah memang kreatif dalam bab-bab masakan. Ayah kata kalau tak ada beras, perlu ada tepung gandum. Dari tepung gandum itu ayah pernah buat roti canai (ya, ayah saya pandai menebar) , cucur bawang dan ikan bilis dan juga lempeng kelapa selain dari roti bakar yang ini. Kari ayah juga adalah yang paling sedap aku pernah makan biarpun cuma berisi beberapa ketul kentang.

Malam itu kami semua tidur di ruang tamu. Sambil mengipas-ngipaskan mak dan Arshad menggunakan surat khabar, ayah kata rumah kami tak ada elektrik. Bang long cuma tidur berseluar dalam sahaja. Sayup-sayup aku terdengar suara Salleh Yaakob menyanyi dari balik dinding.

Esok aku nak mintak ayah potongkan rambut aku.






CUTT !!

No comments: