Hari itu aku menangis semahu-mahunya. Ayah sungguh keras
hati. Maktok juga berlinangan air matanya. Dengan jarak yang cuma dipisahkan
pagar kayu setinggi peha maktok aku memeluk tubuh tua itu agar membenarkan aku
mengikutnya pulang.
“Nak ikut maktok…nak ikut maktok…” itu sahaja ayat yang
ku ulang sambil teresak-esak.
“Tak boleh, ayah tak bagi” berjurai-jurai air mata maktok tumpah. Ingin sahaja aku
patahkan tembok pemisah itu, lari bersama maktok. Aku tak tahan lagi.
“Dahlah mak balikla. Madi tetap tak bagi budak ni balik
ikut mak”
Meraung-raung aku mendengarkan ayah berkata begitu.
Bukannya dekat, jarak dari bandar setengah jam perjalanan
menaiki bas ditambah pula dengan berjalan dari depan Taman Maju ke rumah nombor
10 ini. Aku rasa setengah jam juga berjalan kaki dari depan. Aku kasihankan
maktok.
“Maktok balik dulu ye, nanti maktok datang lagi”
Aku meronta-ronta minta tidak dilepaskan pelukan tetapi
maktok pergi juga. Aku menangis semahu-mahunya di muka pintu. Ayah kejam,
kejam! Bentak hatiku. Aku memandang mak menagih simpati. Mak hanya menjeling. Bang
long terdiam di sisi mak, tidak mengerti apa yang sedang berlaku.
“Manja sangat” mak mencebik.
Aku berlari ke bilik dan melampiaskan raungan serta
airmata ke bantal yang banyak mendengar kisah hidupku ini. Aku teresak-esak bersama
harapan yang musnah, hati yang hancur dan duniaku menjadi gelap perlahan-lahan.
“Mak! Mak! Bye mak!” aku melambai-lambai burung besi yang
jauh di awan nan biru.
“Mak pergi haji, awak jaga diri baik-baik” aku cuma mengangguk
dan bayangan mak terus lenyap.
“Mak! Mak jangan tinggalkan saya!” aku menjerit sambil
melambai-lambai burung besi itu.
Eh dia tengok kita
Eh dia jeling mata
Aduh mak senyum lagi
Amboi nona manis sekali
Aku tersentak. Sekilas aku tersedu kecil bilasan air mata
tadi. Kuseka wajah yang masih basah. Aku lihat sekeliling.
Gelap.
“Mak?”
Sunyi.
Perlahan-lahan aku membuka pintu bilik dan menjengah ke
dapur dan bilik ayah. Tiada sesiapa. Aku menoleh ke jam dinding bulat yang
tertera Orient di permukaannya.
“Pukul 4 petang” bisik bibirku.
Dia menjeling
Aduh mak aku dicubit
Siapa dia
Oh puteri remaja
“Salleh Yaakob!”
Aku berlari ke ruang tamu. Perlahan-lahan aku membuka
pintu. Dalam anggaran 2 inci aku mengintai
ke arah rumah Pak Samad. Abang rakan sekelasku, Amalia Yanti binti Abd.
Samad menyanyi sambil duduk berlunjur di atas tembok rumah mereka yang
berukuran tinggi lebih kurang 5 kaki. Abang Yanti satu sekolah denganku tetapi
dia darjah 4.
Eh dia malu-malu
Dibalik selendang yang biru
Aku tutup semula pintu bila dia menyanyi sambil tersenyum
menjeling ke arahku yang sedang mengintainya. Kemudian aku buka semula.
Dia senyum padaku
Itulah gadis impianku
Aku tutup semula pintu.
Aku dapat rasakan tenaga semangat yang segar. Aku senyum
di belakang pintu. Tiba-tiba aku teringatkan kerja sekolah yang diberi cikgu
untuk disiapkan dalam musim cuti penggal ini.
Aku seka air mata tunggal yang jatuh. Hidup mesti
diteruskan.
"Kesakitan mengajar kita erti kekuatan. Kerana itu sahaja
pilihan yang kita ada" - entah siapa-siapa
Nota kaki : aku kalo jumpe budak sekolah rendah feeling
lebih-lebih ni aku hentak je kadang-kadang kakaka
CUTT !!
No comments:
Post a Comment